12/13/09

Tiga maut tragedi lori minyak


ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku selepas sebuah lori tangki minyak merempuh sebuah rumah di Kampung Batu Ulu Klawang, Jelebu, semalam.


JELEBU 12 Dis. - Dua beradik antara tiga yang rentung apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh sebuah rumah sebelum meletup di Kampung Batu Ulu Klawang, Batu 18, dekat sini hari ini.

Tragedi ngeri itu berlaku pada pukul 8.39 pagi ketika Anisah Hanapiah, 15, dan Mohd. Hafiz Hanapiah, 7, berada di dalam rumah.

Pemandu lori, Samsulkahar Bahudin, 36, meninggal dunia dengan 60 peratus kesan terbakar.

Siasatan mendapati lori yang dipandu laju itu gagal dikawal ketika melalui satu selekoh lalu terjunam dari ketinggian empat meter dan merempuh rumah tersebut.

Rempuhan itu mengakibatkan 32,760 liter minyak petrol RON95 yang dibawa kenderaan itu melimpah dan mengakibatkan dua kali letupan kuat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Adzhar Che Onn berkata, sebelum itu, lori yang datang dari arah Bukit Tangga, dekat sini, dikatakan merempuh sebuah kereta Mercedes-Benz di tepi jalan berkenaan.

"Lori tersebut kemudian terjunam dan merempuh rumah berkenaan sehingga berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata Adzhar, mayat Samsulkahar ditemui pada pukul 9 pagi di kawasan pagar rumah, dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri sebelum rebah, manakala kedua-dua adik-beradik tersebut dalam keadaan bertindih di dalam rumah pada pukul 10.20 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu dan Seremban diketuai Timbalan Penguasa Bomba, Zakaria Amat dan Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Khairul Azwan Ibrahim mengambil masa sejam untuk memadam kebakaran.

Sementara itu, ibu kepada dua beradik tersebut, Mariani Cembeng, 45, yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana menghadiri satu mesyuarat.

Difahamkan, kejadian itu merupakan yang kedua selepas sebuah lori membawa muatan getah terbabas berhampiran rumahnya, kira-kira lima bulan lalu.

Mariani yang kematian suami mempunyai empat orang anak dengan dua daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran, manakala dua lagi tinggal bersamanya di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Supritendan Setapa Yusuff berkata, lori yang datang dari Port Dickson itu menuju ke Kuala Klawang untuk menghantar minyak.

"Lori itu betul-betul berada di dalam rumah berkenaan dan dalam keadaan terbalik serta hangus terbakar bersama-sama sebuah kereta jenis Proton dipercayai milik ibu adik-beradik malang tersebut," katanya di sini hari ini.

Katanya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu di Kuala Klawang untuk bedah siasat dan pihaknya masih meneliti punca kejadian.

-DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA-

No comments:

Post a Comment

SEJARAH FELDA

SEJARAH FELDA