12/13/09

'2 anak kesayangan saya sudah tiada'


MARIANI Chembeng (tengah) yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan kematian dua anaknya ditenteramkan oleh anggota keluarganya di Kampung Batu Ulu Klawang, Jelebu, semalam.


JELEBU 12 Dis. - "Hati saya berdebar apabila melihat jentera bomba, ambulans dan polis menuju ke rumah saya.

"Ketika itu saya hanya teringatkan dua anak, Anisah dan Hafiz dalam rumah itu," kata ibu kepada dua beradik yang rentung, Mariani Cembeng, 45, di sini hari ini.

Beliau berkata, debaran hatinya berasas apabila dimaklumkan oleh pasukan penyelamat yang kedua-dua anaknya itu masih terperangkap di dalam rumah.

"Hati saya remuk sambil melihat rumah yang sedang marak dijilat api akibat dirempuh lori penuh muatan minyak petrol," katanya dalam nada sebak dan tersekat-sekat.

Menurutnya, dia pulang ke rumahnya dengan ditemani seorang rakannya kerana tidak dapat memandu apabila dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Katanya, kedua-dua anaknya itu memang rapat dan sering mengambil berat antara satu sama lain.

"Saya tidak mampu nak nyatakan apa-apa lagi. Dua anak kesayangan saya sudah tiada lagi... Namun saya reda dengan ketentuan Allah ini," katanya.

Suami Mariani meninggal dunia dua tahun lalu, manakala dua lagi anaknya iaitu Mohd. Firdaus Hanapiah, 24, bekerja di ibu negara dan Mohd. Amirul, 19, menuntut di sebuah politeknik dekat Port Dickson.

Anisah yang terbunuh merupakan pelajar di Sekolah Agama Kuala Klawang sementara adiknya, Mohd. Hafiz di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang.

Dalam pada itu, seorang saksi, Azuman Abu Bakar, 34, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh ibunya.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak sehingga mencecah pucuk pokok kelapa. Waktu itu juga kedengaran beberapa letupan kuat," katanya.

Difahamkan, beberapa saksi yang sempat melihat kejadian itu memberitahu, pemandu lori tersebut, Samsulkahar Bahudin, cuba bangun beberapa kali walaupun sebahagian badannya dari pusat ke bawah sedang terbakar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin yang berada di tempat kejadian berkata, pihaknya akan segera membantu membina rumah baru keluarga itu.

Turut hadir melawat keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen Jelebu yang juga Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan.

Sementara itu, jenazah Anisah dan Mohd. Hafiz telah dituntut oleh keluarga selepas bedah siasat di Hospital Jelebu, Kuala Klawang.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Kariah Ammar Penghulu, Kuala Klawang dekat sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Rambai Baris di sini.

Dalam pada itu jenazah Samsulkahar dijangka dituntut keluarga esok untuk dikebumikan di Melaka.

-DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA-

No comments:

Post a Comment

SEJARAH FELDA

SEJARAH FELDA